Itulah aku. Aku sentiasa sibuk dengan kerjayaku. Masa yang ada harusku peruntukan dengan sebaiknya. Bagiku panggilan mesyuarat tergempar, mesyuarat di awalkan, mesyuarat ditunda mahupun panggilan kecemasan adalah perkara biasa. Aku sudah lali dengan semua itu. Ini pekerjaanku jadi walau apapun yang berlaku, aku harus terima. Walaupun sibuk dengan kerja tetapi aku tidak pernah mengeluh mahupun berasa tertekan. Ini adalah pilihku dan aku harus hadapinya. Kesibukan membuatkan aku dapat melupakan perasaan sedihku.
Setelah selesai bersiap ku capai kunci kereta lalu ku pandu menuju ke tempat kerjaku. Dalam perjalanan ku lihat jam di tanganku. “Baru jam 7.35 pagi. Sempatlah aku sampai sebelum jam 8.00 pagi”. Suara hatiku berkata. Tanpaku duga, fikiranku mula mengenang kembali Cikgu Nur Aisyah Aina. Aku rasakan fikiranku kini telah sepenuh melayang mengingati hikayat dahulu. Hikayat yang cukup memberi seribu makna dalam hidupku. Mengingati kembali kenanganku di zaman persekolahan. Zaman di mana aku mengenali Cikgu Nur Aisyah Aina. Zaman yang ku rasakan telah menyedarkanku. Menyedarkanku daripada lamunan. Lamunan yang mampu menghancurkan diriku malahan menjejaskan masa depanku. Jika lamunan itu tidak dihentikan, aku tidak tahu apa yang akan terjadi pada diriku sekarang. Terima kasih aku ucapkan kepada Cikgu Nur Aisyah Aina kerana menyedarkan aku daripada terus terjerumus ke arah perkara yang tidak baik. Akhirnya, aku sedar akan kesilapanku. Pada waktu itulah aku mengenali diriku yang sebenarnya.
Dahulu aku bukanlah hukama. Aku seorang pelajar yang ahmak. Aku hanya anak seorang nelayan. Anak sulung daripada lapan orang adik-beradik. Kehidupan keluargaku susah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Walaupun keluargaku susah tetapi tidak sedikit pun aku rasakan kesusahan itu mampu menghalangku untuk terus belajar. Aku mempunyai cita-cita yang cukup besar. Cita-cita yang harus ku kejar ajar aku dapat mengubah nasib keluargaku. Selama ini aku dan keluarga dapat meneruskan kehidupan adalah atas bantuan ehsan jiran-jiran. Tahun 1980 merupakan tahun yang bersejarah bagiku. Tahun itulah aku memasuki alam sekolah menengah. Kegembiraan yang tidak terhingga tergambar di raut wajahku. Aku bersyukur kerana aku berpeluang menyambung pelajaranku. Seterusnya mencapai cita-cita dan impianku.
Pada hari pertama di sekolah menengah, aku tidak mempunyai saki. ”Siapalah yang mahu berkawan denganku. Aku hanya anak nelayan. Miskin pula tu.” Hatiku bermadah penuh makna mengenangkan nasibku di hari pertama. Aku hadir ke sekolah tanpa membawa wang saku kerana aku tahu keluargaku tidak mampu menyediakan wang pembelanjaan persekolahanku. Aku reda dengan keadaan tersebut. Bagiku, aku akan tetap sabar menghadapi segala dugaan ini. Aku yakin akan ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.
Setelah lebih kurang sebulan menempuh alam persekolahan, aku masih tidak mempunyai saki walaupun seorang. Walaupun kelihatan amat nestapa tetapi aku tetap tabah dan menerima semua itu dengan perasaan yang tenang dan tabah. Sekian lama menanti, akhirnya muncullah Cikgu Nur Aisyah Aina dalam kehidupanku. Cikgu Nur Aisyah Aina ku panggil Cikgu Aina telah sudi menjadi sakiku dan mengambil berat terhadap diriku. Aku berasa terharu dan timbul tanda tanya dalam hatiku. ”Mengapa Cikgu Aina baik sangat denganku? Mengapa Cikgu Aina mengambil berat ke atas diriku?”. Persoalan tersebut terus bermain dalam ruang mindaku.
------bersambung------

0 ulasan:
Catat Ulasan